Wednesday, October 28, 2009

TETAMU ALLAH...


Panggilan Haji telah tiba lagi
Menunaikan ibadah panggilan Baitullah
Tanah suci Makkah di Makatul Mukarramah....

Begitulah lebih kurang lirik lagu yang mengingatkan kita akan ketibaan musim haji...
.
Berpuasa kita sudah, beraya pun sudah... sekarang tibalah masa untuk umat Islam mengerjakan haji pula, bagi memenuhi salah satu tuntutan rukun Islam yang lima.
.
Bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Makkah untuk mengerjakan ibadah haji, sudah pasti mereka akan mengingati saat-saat mereka berada di sana. Bagi yang bakal pergi, sudah pastinya perasaan membuak-buak untuk ke tanah suci tidak terbendung lagi.. dan bagi yang belum berpeluang ataupun yang 'belum sampai serunya', akan terus berdoa agar satu hari nanti, kita juga akan dijemput untuk ke rumah Allah...
.
Sempena dengan itu, diperturunkan dibawah, perkara-perkara asas berkenaan ibadah haji yang perlu kita tahu untuk rujukan bersama..
.
APA ITU HAJI
.
Haji ialah mengunjungi Baitullah di Makkah untuk beribadat pada waktu-waktu tertentu dengan syarat-syarat tertentu. Mengerjakan haji hukumnya wajib sekali dalam seumur hidup bagi yang mampu.
.
SYARAT WAJIB HAJI
  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka, tidak wajib bagi seorang abdi
  • Berupaya/berkemampuan iaitu ada perbelanjaan yang cukup, kenderaan yang baik dan aman dalam perjalanan.

RUKUN HAJI
Iaitu amalan yang wajib dikerjakan dan tidak sah haji sekiranya ditinggalkan :

  • Niat mengerjakan haji pada bulan haji, iaitu mulai 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah
  • Wukuf di Arafah
  • Tawaf mengelilingi Kaabah tujuh kali selepas wukuf
  • Sai' tujuh kali pergi balik di antara Safa dan Marwah
  • Bercukur atau menggunting rambut di kepala sekurang-kurangnya tiga helai
  • Tertib iaitu mengikut susunan

WAJIB HAJI
Iaitu perkara yang wajib dikerjakan, jika ditinggalkan sah hajinya tetapi wajib membayar dam (denda) yang telah ditetapkan oleh syarak :

  • Berniat di Miqat (tempat yang telah ditentukan untuk berniat haji atau umrah)
  • Bermalam di Muzdalifah sesudah wukuf di Arafah
  • Bermalam di Mina (11, 12, dan 13 Zulhijjah)
  • Melontar Jamrah Aqabah pada 10 Zulhijjah
  • Melontar ketiga-tiga jamrah pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah
  • Meninggalkan segala perkara yang haram dilakukan sewaktu mengerjakan haji

SUNAT HAJI

  • Mandi ketika hendak berniat haji
  • Memakai wangi-wangian sebelum berniat
  • Memakai kain ihram yang bewarna putih
  • Membaca talbiah
  • Berzikir dan berdoa di Masjidil Haram

CARA MENGERJAKAN HAJI

Terdapat tiga (3) cara untuk menunaikan haji :

  • HAJI IFRAD - mengerjakan haji sahaja manakala umrah dilakukan pada lain masa iaitu bukan dalam bulan haji (cara ini adalah afdal)
  • HAJI TAMATTUK - melakukan umrah dalam bulan haji, kemudiannya berniat mengerjakan haji (cara ini diwajibkan dam)
  • HAJI QIRAN - mengerjakan haji dan umrah serentak dengan berniat ihram kedua-duanya sekaligus (cara ini dikenakan dam)

PERKARA YANG DIHARAMKAN KETIKA HAJI

  • Memakai pakaian bersarung (lelaki) memakai sarung tangan (perempuan)
  • Menutup kepala (lelaki) menutup muka (perempuan)
  • Memakai wangi-wangian atau minyak rambut
  • Bercukur atau mencabut rambut sebelum sampai waktu bercukur
  • Mengerat kuku

##############@@@@@@@@@#############

Assalamualaikum wbt,

Bagi pihak AJK Penaja SMARTOSA, kami ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah haji kepada sahabat kita, Sdr Azri dan Sdri Suliahti yang akan berlepas ke tanah suci pada 31/10/2009. Semoga kesihatan mereka akan terpelihara olehNya untuk menyempurnakan rukun Islam yang ke lima dan seterusnya mendapat haji mabrur.

Semoga perjalanan pergi dan balik dan sepanjang mereka berada di Makkah akan terpelihara dan dipermudahkan segala ibadah mereka oleh Allah swt.

Wassalam.

No comments: