Sunday, September 6, 2009

NUZUL AL-QURAN


Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad S.A.W hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini.
.
Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi S.A.W, maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata “Al-Quran mukjizat akhir zaman” atau “Al-Quran yang mempunyai mukjizat”. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran, tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam Al-Quran.
.
Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
.
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
.
Dalam sejarah kehidupan Nabi S.A.W, ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq, maksudnya:
.
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq:1-5)
.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang benar (iaitu ajaran islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar". -Al-Isra', ayat 9 -

Oleh itu, marilah sama-sama kita berusaha mencari keberkatan Allah s.w.t dan berdoa agar sentiasa berada di bawah rahmat dan lindungannya serta beroleh kebahagiaan hidup didunia dan diakhirat.

Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran..

No comments: